CERITA SERAM AUDIO : CERITA MISTERI PERMAINAN BURUNG HANTU



CERITA SERAM AUDIO : 
CERITA MISTERI PERMAINAN BURUNG HANTU




KISAH-KISAH BERKAITAN PERMAINAN BURUNG HANTU
CERITA SERAM AUDIO : ASRAMA BERHANTU MISTERI
Aktiviti Malam Burung Hantu ini pastinya dijalankan pada waktu malam, khususnya selepas jam 12 tengah malam. Kalau tidak, takkanlah dinamakan sebagai Malam Burung Hantu. Objektif utama aktiviti ini adalah untuk menambahkan daya keyakinan, ketabahan dan keberanian individu. Aktiviti ini sering dijadikan acara kemuncak dalam program-program ko-kurikulum di sekolah khususnya dalam aktiviti perkhemahan (camping) dan program-program bina semangat. 

Tetapi biasalah, mesti ada objektif-objektif lain yang ditambah kemudiannya. Antaranya ialah keseronokkan hendak mengusik pelajar-pelajar Junior atau ahli-ahli kelab yang baru. Konsep aktiviti ini agak mudah difahami dan dipraktikkan, di mana setiap peserta akan melihat diri mereka sebagai seekor burung hantu yang duduk bersendirian di waktu malam gelap untuk menghayati suasana malam. Bukannya tidur ye. 

Burung Hantu hanya tidur pada waktu siang. Setiap peserta akan ditempatkan di lokasi-lokasi tertentu dan jaraknya berjauhan antara satu sama lain. Ini untuk mengelakkan daripada berlakunya komunikasi di antara mereka. Peserta tidak dibenarkan membawa sebarang bentuk alat hiburan (contoh: walkman) dan komunikasi (telefon, wisel). Tapi masa saya sekolah dulu, mana ada pelajar sekolah yang pakai handphone! 

Berapa lama anda akan ditinggalkan bersendirian, itu bergantung kepada kehendak penganjur aktiviti. Sebenarnya aktiviti Malam Burung Hantu ini terbahagi kepada dua kategori; Malam Burung Hantu tanpa Hantu, dan Malam Burung Hantu dengan Hantu. Malam Burung Hantu tanpa Hantu Dalam kategori ini, peserta akan ditinggalkan berseorangan di satu lokasi tertentu. Jadilah peserta itu seperti seekor burung hantu. Peserta tidak dibenarkan meninggalkan tempat tersebut dan mereka hendaklah kekal berada di sana untuk satu tempoh yang ditetapkan. Mereka hanya boleh meninggalkan tempat tersebut hanya setelah dijemput pulang oleh pengelola aktiviti Burung Hantu. Kebiasannya peserta akan berhadapan dengan cabaran emosi dan godaan yang timbul dari dalam diri sendiri. 

Ada peserta yang ternampak atau terdengar "sesuatu", dan ada juga yang tidak terjumpa apa-apa. Kadang-kadang ada yang menjerit ketakutan walaupun sebenarnya tak nampak apa-apa pun. 

Malam Burung Hantu dengan Hantu 

 Aktiviti kategori ini jauh lebih menakutkan dan lebih mencabar keberanian para peserta. Kaedahnya sama seperti sebelum ini tetapi beberapa inidividu telah dipilih untuk menjadi "Hantu". Hantu-hantu ini biasanya terdiri dari barisan pelajar-pelajar Senior yang berpengalaman luas dalam menjadi Hantu pada aktiviti-aktiviti Malam Burung Hantu yang diadakan sebelum ini. 

Mereka juga semestinya telah merasai jerit-perih pengalaman menjadi Burung Hantu dan dikacau oleh Hantu sewaktu mereka berstatus Junior. Sebelum aktiviti malam itu dimulakan, Hantu-hantu yang terpilih hendaklah menyiapkan diri mereka dengan persediaan fizikal dan mental. Dari segi fizikal, mereka akan memilih pakaian dan solekan yang bersesuaian dengan tema atau jenis hantu yang dipilih. Kebiasaannya mereka lebih senang memilih untuk berlakon menjadi Hantu Pontianak/Langsuir atau Hantu Pocong, tapi biasanya Pocong yang boleh berjalanlah. Tak mahu mereka jadi Hantu Pocong yang melompat-lompat. 

Bukannya senang. Pakaian pula direka sendiri berdasarkan daya kreativiti masing-masing. Kalau nak senang, pinjam saja kain telekung emak masing-masing di rumah. Kulit batang serai atau penyedut minuman (straw) yang diraut halus boleh disarungkan pada hujung jari bagi menonjolkan imej "kuku panjang Hantu". Teknik solekan juga mudah, di mana hanya bedak sejuk sahaja yang diperlukan untuk memutihkan wajah, seperti gambar di bawah ini. Persediaan dari segi mental juga perlu. Hantu-hantu akan diberikan panduan yang lengkap tentang bagaimana menangani situasi-situasi kecemasan dan keadaan yang tidak diingini. Kebiasaannya nasihat dan tunjuk ajar akan diberikan oleh Hantu-hantu yang lebih berpengalaman. 

Antara keadaan yang paling tidak diingini berlaku adalah situasi di mana Hantu-hantu ini terjumpa "Hantu-hantu yang sebenar". Pabila para peserta telah diletakkan bersendirian, maka keluarlah Hantu-hantu untuk menjalankan tugas mereka. Seorang Hantu biasanya akan diiringi oleh seorang pembantu yang bukan Hantu bagi membantu mobiliti Hantu. Iyelah, kalau dah berpakaian seperti Hantu, mestilah susah sikit nak berjalan kan...

Bagi yang lebih kreatif, ada Hantu yang berdiri di atas scateboard dan pembantunya akan menarik atau menolak scateboard itu dengan menggunakan tali. Ini bagi mendapatkan special effect pergerakkan Hantu yang lancar dan smooth, macam berjalan atas angin dan kaki tidak berpijak di bumi... Bagaimana respon para peserta terhadap kehadiran Hantu-hantu tersebut? Bergantung kepada kekuatan mental mereka. Ada yang menjerit, menangis dan tidak kurang pula yang cabut lari terus meninggalkan lokasi kejadian. Ada juga yang hanya ketawa melihat gelagat Hantu-hantu yang mengusik mereka. 

Pengalaman yang paling tidak dapat saya lupakan adalah semasa sekumpulan pelajat Junior merayu-rayu sambil menangis-nangis kepada kami (pelajar Senior) supaya tidak mengadakan aktiviti Malam Burung Hantu pada satu program perkhemahan tahunan. Tapi kami peduli apa. Aktiviti tersebut tetap dijalankan seperti biasa... Saya tidak berapa pasti sama ada program Malam Burung Hantu ini masih aktif dipraktikkan oleh badan-badan beruniform atau ko-kurikulum di sekolah-sekolah pada masa kini. Menurut kawan saya. ia masih lagi dijalankan tetapi tidak secara meluas. 

Aktiviti ini pun sudah semakin ditinggalkan. Kata kawan saya lagi, "Burung Hantunya memang ada, tapi tiada siapa yang nak jadi Hantunya..."